VIP Jutawan Yang Bergelar 'Datuk' Ketuai Sindiket Dadah
KUALA LUMPUR: Sejumlah 221 sindiket dadah ditumpaskan di seluruh negara sepanjang tempoh 2021 setakat ini, termasuk ada yang diketuai golongan VIP bergelar 'Datuk'.
Ada juga sindiket itu yang diketuai individu kaya bergelar jutawan dalam masa singkat selepas hanya dua atau tiga tahun menceburi bidang perniagaan.
Melihat situasi itu, timbul persoalan adakah suatu hari nanti negara bakal mempunyai 'raja dadah' seperti Pablo Escobar, iaitu pengedar dadah terkaya dari Colombia yang memonopoli perdagangan kokain sehingga mempengaruhi agensi penguat kuasa undang-undang.
Menyuarakan kebimbangan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata 'pemain ekonomi gelap' (black economy players) itu adalah 'kingpin' yang berselindung di sebalik perniagaan 'bersih' untuk mengedar dan menjual dadah.
"Sepanjang tempoh tahun ini saja, kami berjaya menumpaskan 221 sindiket dadah. Ada antaranya diketuai golongan VIP berpangkat 'Datuk' dan individu yang baru memulakan perniagaan dalam tempoh dua atau tiga tahun tetapi sudah menjadi jutawan dalam masa singkat.
"Kerajaan menanggung kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun berikutan sindiket ini tidak membayar cukai kerana mereka adalah 'black economy players' yang berselindung dalam kegiatan menjual dadah," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Bukit Aman, baru-baru ini.
Razarudin berkata. kewujudan pemain ekonomi gelap atau 'kingpin' itu dikhuatiri akan 'meresapi' ke peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau ahli politik yang boleh memberi impak terhadap negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan akan sentiasa berusaha memastikan perkara itu tidak berlaku, dan terus memperhebatkan risikan serta operasi dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.
"Setakat ini berdasarkan maklumat risikan dan pemantauan, sindiket dadah itu belum lagi mampu menanam pengaruh mereka pada institusi kerajaan serta ahli politik.
"Mungkin ada seorang atau dua pegawai PDRM terbabit 'kingpin' ini, namun mereka telah diambil tindakan. Saya melihat pegawai dan anggota gigih bekerja serta berintegriti tinggi," katanya.
Beliau turut memaklumkan, jumlah penagih direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun lalu ialah 130,000 orang dalam lingkungan umur 18 hingga 45 tahun, dengan purata seorang penagih dalam lapan keluarga.
Bagi memulihkan seorang penagih dadah, katanya, kerajaan perlu membelanjakan RM45 sehari dan ini menyebabkan kerugian kepada negara.
"Bayangkan jika tidak dibendung, dalam tempoh 10 tahun nanti, jumlah penagih dadah boleh mencecah hingga tiga juta," katanya.
Razarudin berkata, ancaman dadah kepada negara perlu diatasi dari awal supaya tidak wujud pertambahan bilangan penagih dan raja dadah.
Beliau sekali gus berharap rakyat peka terhadap persekitaran mereka apabila melihat ada individu yang memiliki kekayaan 'luar biasa' dalam masa singkat dengan keadaan mencurigakan, supaya menyalurkan maklumat bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
~BERNAMA~