Penduduk setinggan di Jalan Dato, Manggatal diberi tempoh dua bulan berpindah
KOTA KINABALU: Penduduk setinggan di tapak projek komersial Jalan Dato di Manggatal di sini yang mendapat perintah Mahkamah supaya berpindah serta-merta mendapat simpati Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah.
Beliau membuat lawatan mengejut di tapak pembinaan bersebelahan Kampung Tobobon itu kelmarin selepas menerima aduan penduduk apabila struktur rumah mereka dirobohkan oleh kontraktor pemaju sebaik sahaja mendapat arahan Mahkamah.
Serentak dengan itu, Masiung mengarahkan pemaju memberi tempoh dua bulan kepada penghuni setinggan untuk mencari tempat tinggal baharu dan mengutip semula bahan binaan rumah yang telah didirikan.
Beliau menolak cadangan kontraktor pemaju memberikan tempoh singkat hanya dua minggu bagi penghuni mengosongkan kawasan tersebut sebaliknya bertegas agar warga setinggan itu diberi ruang sehingga 31 Disember depan.
LPPB mengenalpasti lebih 20 buah rumah setinggan didirikan di kawasan tapak pembinaan komersial dan perumahan itu sejak beberapa tahun lalu.
“Kita harus ada perikemanusiaan, kerana penghuni setinggan terbabit kebanyakan penduduk tempatan berpendapatan rendah yang datang daripada pelbagai daerah di Sabah.
“Tindakan tegas mengarahkan warga setinggan berpindah merupakan isu kemanusiaan. Kita perlu ada rasa simpati walaupun mereka menyalahi undang-undang.
“Meskipun ia adalah arahan Mahkamah supaya penduduk setinggan berpindah serta-merta, namun saya bertegas agar mereka diberi lanjutan masa dua bulan lagi sehingga hujung tahun ini berakhir 31 Disember,” katanya.
Bulan lalu, kontraktor pemaju memperolehi perintah Mahkamah untuk merobohkan rumah penduduk setinggan di tapak projek tersebut kerana keengganan mereka berpindah dari penempatan itu setelah diberikan notis.
Syarikat pemaju tempatan yang membangunkan kawasan tersebut memperolehi hak milik tanah lebih 100 ekar hasil usahasama dengan LPPB sejak lebih 20 tahun lalu.
Kelmarin, Masiung diiringi Pengurus Besar, Rosemary Ahping melawat dan menemui beberapa penduduk setinggan tersebut sambil menerangkan kepada mereka tentang rancangan projek yang bakal dibangunkan di kawasan itu.
Rata-rata penghuni yang dilawati memahami proses perundangan melibatkan tapak komersial yang mereka duduki dan bersedia memberi kerjasama sebaik saja Masiung memberi jaminan untuk memberi kelonggaran penghuni berpindah dalam masa dua bulan.