Wanita Dipenjara 1 Tahun Kerana Memarahi Suami Pulang Dalam Keadaan Mabuk..
Rabu, 17 November 2021
Edit
Seorang wanita berusia 45 tahun di Karawang, Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun oleh Pendakwa Raya Kejari Karawang, lapor Tribun jabar.
Hukuman itu telah dibacakan dalam perbicaraan kes berkenaan Keganasan Rumah Tangga (KDRT) yang berlangsung di Mahkamah Daerah Karawang.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu dilaporkan telah melakukan kekerasan dalam rumah tangga ke atas suaminya.
Suaminya itu mengakui bahawa dirinya telah mengalami masalah mental kerana sering dimarahi oleh isterinya.
“Suami selalu mabuk malahan yang dihukum isterinya pula. Perhatian kepada isteri, ibu-ibu seluruh Indonesia, hati-hati kalau nak marah suami pulang dalam keadaan mabuk.
“Kena layan mereka elok-elok dan sambut dengan baik. Jika anda marah mereka, anda boleh dipenjara,” sindir wanita itu setelah selesai perbicaraan di mahkamah tersebut.
Peguam wanita tersebut, Iwan Kurniawan menyatakan bahawa, beliau menganggap tuduhan daripada pendakwa raya tersebut terlalu berat.
Pihaknya dilapor akan mempersiapkan pembelaan di mahkamah pada minggu depan.
Iwan berkata, dalam kes keganasan rumah tangga berkaitan mental ini, wajib ada bukti kukuh hasil tindakan keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh tertuduh.
Bekas suami kepada wanita itu membuat laporan polis berkenaan perkara tersebut selepas dia dilaporkan dibuang kerja dan mengalami tekanan mental.
Bekas suaminya itu dilaporkan membuat laporan polis tersebut selepas wanita berkenaan terlebih dahulu melaporkan bekas suaminya itu kepada pihak polis kerana mengabaikan keluarganya.
Bekas suaminya kemudiannya dinamakan sebagai suspek pada Disember 2020, manakala dia pula dinamakan sebagai suspek pada 11 Januari 2021.
Sumber: Tribun Jabar