Ibu bunuh lima anaknya dipenjara seumur hidup
FRANKFURT: Sebuah mahkamah Jerman menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang wanita kerana membunuh lima daripada enam anak kandungnya, dalam kes yang disifatkan pendakwa sebagai 'berniat jahat'.
Ibu berusia 28 tahun yang hanya dikenali sebagai Christiane K, didapati bersalah kerana menenggelam atau menekap muka kanak-kanak itu di tab mandi pada September 2020.
Mayat tiga anak perempuannya berusia tiga, dua dan satu tahun serta dua anak lelakinya berusia enam dan lapan tahun ditemui terbaring di atas katil mereka, masing-masing dibaluti tuala, di flat keluarga itu di bandar Solingen, barat Jerman.
Wanita itu kemudian cuba membunuh diri dengan terjun ke hadapan kereta api di stesen Duesseldorf, tetapi dia diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
Ibu itu didakwa mencampurkan ubat ke dalam sarapan anak-anaknya untuk membuat mereka mengantuk, sebelum membunuh mereka.
Pihak pendakwa memohon hukuman penjara seumur hidup atas "pembunuhan berniat jahat" itu, dengan mengatakan Christiane K mengambil kesempatan atas kelemahan anak-anaknya.
Hakim di mahkamah di Wuppertal, barat Jerman berkata wanita itu tidak akan layak untuk pembebasan bersyarat selama 15 tahun.
Pendakwa raya berhujah bahawa Christiane K bergamak membunuh anak-anaknya kerana marah selepas melihat gambar suaminya bersama teman wanita baharu.
Dia memberitahu lelaki itu dalam ruang sembang online bahawa suaminya itu tidak akan dapat melihat anak-anaknya lagi, menurut pendakwa raya.
Christiane K berkeras dia tidak bersalah dan berkata seorang lelaki bertopeng memasuki flat dan membunuh anaknya.
Tetapi penyiasat tidak menemui sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu, dan hakim menolak permintaan peguam bela untuk membebaskan Christiane K.
Pakar psikologi yang dilantik mahkamah memutuskan bahawa tertuduh boleh dipertanggungjawabkan secara jenayah atas tindakannya. - AGENSI