Pemandu e-hailing disamun dua lelaki bersenjata di Kota Kinabalu
Isnin, 25 Oktober 2021
Edit
Mangsa semasa berada di tempat kejadian, di jalan sempit dan tidak berturap, dikelilingi rumah kosong dan kebun pisang.
KOTA KINABALU: Seorang pemandu e-hailing disamun oleh dua penumpang lelaki di Lorong Burung Keleto, Kampung Likas, sini, pada Jumaat.
Mangsa, seorang lelaki berusia 25 tahun, selamat dalam insiden samun bersenjata tersebut yang berlaku lebih kurang lima minit.
Bagaimana pun, mangsa kerugian RM700 setelah beberapa barang miliknya seperti telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai disamun dua suspek lelaki.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan kejadian samun ini ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa yang disamun telah membuat laporan pada malam kejadian
Berdasarkan keterangan mangsa, dia telah mengambil kedua-dua penumpang berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sekitar pukul 10.55 malam.
Kedua-dua suspek memberikan alamat berkenaan dan setiba di lokasi tersebut, salah seorang suspek memaklumkan mangsa untuk mengambil wang sebelum seorang suspek yang berada dalam kereta telah bertindak mengeluarkan senjata tajam ke leher mangsa dan meminta mangsa mengeluarkan barangan berharga.
Mangsa cuba bergelut dengan suspek hingga bajunya terkoyak sebelum suspek bertindak agresif. Mangsa kemudiannya menyerahkan barang miliknya kerana risau akan keselamatan diri.
Suspek melarikan diri ke arah kebun pisang berhampiran.
Mohd Zaidi berkata, berdasarkan keterangan mangsa, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20an, disyaki berbangsa Bajau Suluk berdasarkan loghat selain fizikal kedua-dua suspek adalah kurus. Salah seorang suspek berkulit cerah sementara seorang lagi berkulit gelap.
Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada saksi bebas dan kamera litar tertutup di kawasan berhampiran untuk membantu siasatan.
Kawasan kejadian juga gelap, jalan sempit dan tidak berturap, dikelilingi rumah kosong dan kebun pisang.
Disebabkan telefon bimbit mangsa disamun, butiran pelanggan yang menempah perkhidmatan pengadu melalui aplikasi maxim tidak dapat disemak.
Maklumat berkaitan nombor telefon mangsa telah diserahkan kepada pihak D8, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bagi bantuan teknikal dan proses fotofit akan di buat dengan bantuan teknikal D6.