Raih RM12,000 Sebulan Hanya Dengan Mengemis! Empat Warga Asing Ditahan Oleh Pihak Berkuasa
Siapa sangka aktiviti mengutip derma atau mengemis memberi pendapatan lumayan. Mana tidaknya ada segelintir pengemis berjaya menerima sehingga RM400 sehari atau RM12,000 sebulan, biar betul?
Memetik laporan Kosmo!, dalam operasi Ops Kutip dan Ops Jaja yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor kelmarin, pihaknya berjaya menahan empat warga asing
Pengemis raih RM400 sehari, RM12,000 sebulan
Operasi di pasar malam Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, Johor Bahru itu dibuat selepas pihak imigresen menerima aduan daripada orang awam.
Difahamkan, kegiatan pengemis warga asing ini sudah dipatahkan sebelum ini namun digantikan dengan orang baru.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Thailand, seorang lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga Pakistan.
Pengemis yang ditahan dipercayai kudung sebelah kaki dan ada yang menggunakan alasan membiayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati.
Mereka dipercayai menjalankan aktiviti mengemis di pasar malam tersebut sejak lebih tiga bulan yang lalu. Lokasi tersebut menjadi tumpuan kerana lokasinya yang strategik dan mendapat pendapatan lumayan