Lembu melintas, bayi lelaki maut dalam kemalangan
Khamis, 4 November 2021
Edit
ANGGOTA bomba menyelamat mangsa kemalangan dua kenderaan yang menyebabkan seorang bayi berusia 14 hari maut di Kampung Gelung Gajah, Manjung. FOTO ihsan BOMBA
Manjung: Bayi lelaki berusia 14 hari maut manakala enam individu termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Gelung Gajah, Bakar Bata di Ayer Tawar dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, bayi malang terbabit dilaporkan menaiki kereta jenis Perodua Kancil bersama lima individu lain terdiri daripada ibu dan bapa berusia 36 tahun serta tiga lagi kanak-kanak berumur antara dua hingga sembilan tahun.
Kenderaan dinaiki mangsa dilaporkan melanggar lembu sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tanah dipandu lelaki berusia 50-an dari arah Ayer Tawar menghala Beruas.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Suhaimi Nijar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.24 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, setibanya bomba di lokasi lelaki dan tiga kanak-kanak sudah dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam.
Katanya, penumpang hadapan kereta iaitu wanita didapati tersepit, manakala bayi lelaki disahkan maut di lokasi oleh pihak perubatan.
"Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan. Ketika itu bayi itu sudah dikeluarkan dari kenderaan.
"Mayat bayi berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada 7.58 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini..